Isnin, 20 April 2015

Peningkatan Kos : Antara Mahu Dengan Tidak.


ASSALAMUALAIKUM


Haritu, aku ada terbaca satu artikel dalam akhbar harian metro. Tajuknya seperti di atas tu. Dan aku rasa tertarik untuk kongsikan dalam entry blog ni.

Kos sara hidup semakin hari semakin naik dan mencabar kegigihan hidup kita. Jika kehidupan tidak diringkaskan bermula dari sekarang, besar kemungkinan kita akan tenggelam karam dalam masalah menguruskan kos sara hidup yang tinggi. 

Semua orang tahu kos sara hidup semakin hari semakin naik. Samaada kita suka atau tidak, bersedia atau tidak, kos sara hidup tak pernah minta izin daripada kita untuk naik sepanjang tahun.

Apa yang kebanyakan daripada kita lakukan sekarang adalah bertungkus lumus mengejar wang bagi menambahkan pendapatan kerana kos sara hidup telah meningkat naik melebihi pendapatan yang kita bawa balik.

Perangai manusia yang buat begitu memang terlalu ramai di muka bumi ini sekarang. Robert Kiyosaki namakan kumpulan manusia yang sebegitu sedang terperangkap dalam perlumbaan tikus atau Rat Race.

Cuba lihat bagaimana seekor tikus yang diletakkan di dalam sangkar bergelung. Semakin kuat dia berlari, semakin kuat pusingan gelung yang memerangkapnya berpusing. Malangnya tikus masih tetap berada di tempat yang sama setelah berpenat lelah berlari dengan laju.

Itulah maksud Rat Race. Walau bagaimana kuat sekali pun kita bekerja untuk meningkatkan pendapatan untuk bayar kos sara hidup dan semakin tinggi kita tambah pendapatan, semakin tinggi pula kos sara hidup meningkat. 

Akhirnya tak ada perubahan dan keadaan diri kita masih tetap seperti dulu juga. Jangan biarkan kehidupan anda menjadi kusut, buat pendekatan mudah dari sekarang. Bila kos sara hidup meningkat jangan lari lebih laju, sebaliknya lari lebih perlahan. 

Oleh yang demikian, penting bagi kita untuk mengurangkan kos keperluan dengan melihat dan menilai semula gaya hidup anda sekarang dan fikirkan bagaimana kos sara hidup dengan gaya itu dapat dikurangkan.

Sebenarnya amalan sering bermuhasabah diri dan bertanya pada diri sendiri untuk meringkaskan kos sara hidup membuatkan urusan seharian kita bagi menguruskan kehidupan menjadi lebih lapang.

Dengan meringankan kos sara hidup kita telah meringankan bebanan kehidupan dan hasilnya simpanan meningkat dan masa bertambah. Dari situ masa yang ada dapat pula digunakan untuk menjana pendapatan tambahan. 

Semakin cekap kita meringkaskan kehidupan, semakin banyak masa terluang dan semakin banyak wang tersimpan. Oleh itu jangan biarkan kos sara hidup menentukan gaya hidup anda. Sebaliknya andalah yang menentukan apakah kos sara hidup yang anda mahu dan apakah kos sara hidup yang anda tak mahu.

Tiada ulasan: