Selasa, 12 Februari 2013

Definisi/Maksud Virus Komputer.

Assalamualaikum
BISMILLAH


Dalam post yang lepas, admin telah menulis entry yang berkaitan dengan maksud perisian anti-virus. Entry kali ini pula, admin akan membincangkan isu mengenai definisi virus komputer.


Entri kali ni pula admin ingin mengetengahkan isu mengenai definisi atau kata lainnya maksud virus komputer. Mungkin entri ini sedikit sebanyak boleh membantu para pelajar baik di sekolah mahupun di universiti sekalipun, Insyaallah entri ini sedikit sebanyak membantu. Baiklah, Virus komputer adalah merupakan nama yang diambil daripada virus biologi, yang merupakan program komputer yang berupaya menyalin dirinya sendiri dan menjangkiti komputer tanpa kebenaran atau pengetahuan pengguna itu sendiri. Dalam konteks yang lebih ringkas, virus komputer didefinisikan sebagai satu program parasit yang tertanam di dalam sebuah perisian komputer yang bertujuan merosakkan komputer itu sendiri. Bagaimanapun, perkataan virus biasanya digunakan bagi merujuk kepada pelbagai jenis perisian perosak yang berlainan. Virus yang asal mungkin mengubah suai salinannya atau salinan itu sendiri yang mengubah suai dirinya, seperti dalam virus metamorf (pembaca boleh gunakan khidmat google untuk mencari makna virus ini). Virus hanya akan boleh tersebar apabila hosnya sampai ke komputer lain, contohnya melalui rangkaian atau perantara mudah alih seperti cakera liut/disket, cakera padat/VCD, atau pemacu kilat USB/pendrive. Selain itu, virus juga boleh merebak dengan menjangkiti fail pada sistem fail rangkaian atau mana-mana sistem fail yang dicapai komputer lain. 

Sesetengah virus direka untuk menjejaskan komputer dengan merosakkan atur cara, menghapuskan fail, atau memformat semula cakera keras (ni dah tahap gaban ni). Manakala ada juga virus yang direka bukan untuk merosakkan apa-apa, tetapi hanya untuk menyalin dirinya dan mungkin untuk menonjolkan kewujudannya melalui paparan teks, video, atau pesanan audio. Walaupun virus yang kedua ini tidak berbahaya, ia juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna komputer kerana ia menggunakan ingatan komputer (R.A.M) yang digunakan oleh atur cara yang sah. Oleh yang demikian, ia seringkali mengakibatkan tindakan yang tidak menentu dan boleh mengakibatkan kerosakan sistem dan kehilangan data.

Banyak komputer peribadi sekarang dihubungkan dengan internet serta rangkaian kawasan setempat (Network) dan dengan itu akan memudahkan lagi penyebaran virus. Virus akan mengambil kesempatan yang diberikan oleh perkhidmatan rangkaian seperti sistem-sistem, jaringan sejagat, e-mail serta perkongsian fail untuk merebak dan dengan itu, akan mengaburi perbezaan antara virus dengan cecacing komputer. 

Sekian sahaja untuk perkongsian ilmu kali ini. Insyallah akan terus menulis untuk entri yang akan datang.

Sumber Berita : Wikipedia

Tiada ulasan: